Ambil Alih Konsesi 4 Lebuh Raya Durian Runtuh Untuk Gamuda

PETALING JAYA – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merujuk pendapat pakar bahawa keputusan Kementerian Kewangan untuk membeli empat konsesi lebuh raya pada harga RM6.2 bilion akan menyebabkan syarikat infrastruktur dan pemegang sahamnya memperoleh durian runtuh sebanyak RM2.82 bilion.

Dalam kenyataan di Facebook malam tadi, Najib merumuskan laporan mengenai pandangan beberapa pakar yang tidak dinamakan dan berkata bahawa mereka percaya pengambilalihan itu tidak menguntungkan rakyat.

Sebaliknya kerajaan akan mengalami kerugian yang akan menambah hutang negara, sementara pengguna lebuh raya akan terus membayar untuk menggunakan lebuh raya berkenaan hatta selepas tempoh konsesi tamat.

Bagaimanapun, rakyat tampak menyukai idea bahawa tol dihapuskan, walaupun perbelanjaan itu kini dijenamakan semula sebagai caj kesesakan, kata Najib.

Kenyataan Najib itu dibuat beberapa jam selepas setiausaha politik menteri kewangan, Tony Pua membuat kenyataan mengkritik logik serta hujahan salah para pengkritik.

Beliau menegaskan bahawa cadangan pengambilalihan itu akan menjimatkan berbilion ringgit wang pembayar cukai dan pengguna lebuh raya, serta memberikan pemegang konsesi pulang yang terhad tetapi munasabah atas pelaburan mereka.

Najib berkata, pakar menyebut tentang jumlah trafik di keempat-empat lebuh raya berkenaan menurun sejak 2015 berikutan projek kerajaan persekutuan di bawah Barisan Nasional sebelum ini seperti LRT dan MRT serta penghapusan tol Lebuhraya Persekutuan.

Jumlah pengguna lebuh raya dijangka terus menurun selepas projek MRT2 dan LRT3 siap tidak lama lagi, katanya.

Lebuh raya yang dimaksudkan oleh beliau ialah LDP, Penchala Link, Kerinchi Link dan Kesas serta terowong SMART. Katanya, walaupun LDP menjana keuntungan, lebuh raya Kesas, Sprint dan SMART mencatatkan kerugian.

Najib berkata, syarkat tujuan khas (SPV) yang diwujudkan bagi meminjam RM6.2 bilion dan pengambilalihan 4 lebuh raya itu dijangka mencatatkan kerugian sebanyak RM70 juta setahun selepas membayar faedah 4% ke atas pinjaman tersebut.

Beliau juga berkata, syarikat tersebut tidak akan dapat membayar balik pinjaman RM6.2 bilion itu dan akan menyebabkan hutang negara akan bertambah.

Katanya, pakar percaya bahawa kerajaan terlebih bayar sebanyak RM2.82 bilion, yang merupakan durian runtuh kepada Gamuda serta pemegang saham lebuh raya berkaitan.

Menurut laporan New Straits Times, pakar juga percaya hasil durian runtuh itu akan disalurkan oleh Gamuda untuk projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, yang disifatkan sebagai “projek kesayangan” Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang bakal menyaksikan penciptaan 3 pulau buatan serta pembinaan lebuh raya Pan Island dan laluan LRT di negeri itu. – FMT