Apa Motif DAP?

1. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia memandang serius perkembangan terbaru mengenai “pertemuan tertutup” enam pemimpin DAP bersama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan isu-isu kewarganegaraan. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia turut menzahirkan kebimbangan yang sama seperti kenyataan media rasmi oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkenaan isu kewarganegaraan ini.

2. Seperti dilaporkan media, enam pemimpin DAP yang terlibat dalam pertemuan tertutup tersebut adalah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Hanna Yeoh; Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham, dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng. Apakah kaitan isu kewarganegaraan dengan Menteri, Timbalan Menteri berlainan portfolio dan Ahli Parlimen DAP sehinggakan mereka semua bersama-sama membentangkan isu yang tiada kena mengena dengan kementerian masing-masing? Dewan Pemuda IKATAN Malaysia mahu pemimpin DAP menyatakan motif perjumpaan mereka dengan Menteri Dalam Negeri.

3. Di saat pendaftaran undi secara automatik dan penurunan had umur kepada 18 tahun bakal memberi kesan kepada pertambahan berganda pengundi berbangsa Melayu dalam PRU-15 nanti, adakah DAP terkesan dengan situasi iini dan memulakan agenda pintu belakang untuk memujuk Menteri Dalam Negeri memberikan kewarganegaraan kepada bangsa-bangsa lain dari luar? Umum mengetahui bahawa Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa meluluskan kewarganegaraan ke atas kes-kes istimewa. Oleh itu, pimpinan DAP harus berterus-terang siapakah golongan istimewa yang mereka perjuangkan?

4. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa pimpinan DAP bersikap telus dan mengutarakan “masalah dan isu” mereka di Dewan Rakyat kerana isu ini adalah berkaitan kedaulatan tanah air kita. Jangan gunakan pintu belakang untuk memenuhi agenda tersembunyi. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia sekali lagi menyokong pandangan dan desakan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia demi menjaga kedaulatan Malaysia dan memelihara keharmonian antara kaum.

Demi Bangsa Malaysia! #SelamatkanMalaysia

Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia,
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera