Badan Putus 4 Digilis Kereta Api

MAYAT seorang pengawal keselamatan ditemui putus empat selepas dipercayai digilis kereta api di tepi landasan berhampiran Taman Keladi di Sungai Petani, hari ini.

Mayat lelaki tempatan berusia 27 tahun itu ditemui kakitangan penyelenggaraan Keretapi Tanah Melayu (KTMB) yang sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan sebelum membuat laporan polis pada 9.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kakitangan KTMB pada mulanya hanya menemui kaki manusia sebelum bertindak memaklumkan kepada polis.

“Susulan itu, pemeriksaan polis mendapati terdapat mayat terputus empat bahagian, yang mana turut ditemui bahagian kepala, kaki kiri dan perut.

“Serpihan anggota badan lain turut ditemui berselerakan di sekitar lokasi kejadian. Berdasarkan keadaan mayat, kami percaya kemungkinan kejadian berlaku awal pagi tadi,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, mayat mangsa yang berasal dari Taman Keladi itu kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk dibedah siasat.

“Berdasarkan temu bual waris mangsa, lelaki itu adalah seorang ‘kaki botol’ dan kerap meminum minuman alkhohol tanpa mengira waktu.

“Siasatan lanjut di lokasi kejadian dapati tiada unsur jenayah dalam kes ini dan kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut,” katanya. – myMetro Online