Bekas Pegawai Polis Tarik Diri Daripada Pasukan Petugas Khas

PETALING JAYA – Bekas ketua bahagian perundangan polis, Mokhtar Mohd Noor menarik diri secara sukarela daripada Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi menyiasat kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat, selepas seminggu dilantik dan menerima kritikan meluas.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata keputusan itu dibuat atas rasa tanggungjawab Mokhtar untuk memelihara integriti dan ketelusan PPK ekoran tindakan pihak tertentu mempersoalkan kesesuaiannya dalam pasukan tersebut.

“Beberapa pertubuhan bukan kerajaan mempersoalkan pelantikan beliau sebelum ini kerana beliau dipercayai terlibat secara langsung dalam kedua-dua kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri bin Che Mat.

“Dakwaan ini tidak benar sama sekali kerana beliau bukan merupakan saksi atau pegawai yang menyiasat kedua-dua kes ini,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Rabu lalu, KDN melantik PPK untuk menyiasat penemuan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang mendakwa Cawangan Khas Bukit Aman terbabit dalam kehilangan paksa Koh dan Amri.

Selain Mokhtar, pasukan petugas itu termasuk bekas hakim Abd Rahim Uda sebagai ketua; Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard polis Zamri Yahya; Pengarah Bahagian Operasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Muhammad Bukhari Ab Hamid; pegawai undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Mohd Sophian Zakaria; dan setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) Kementerian Dalam Negeri, Mohd Russaini Idrus.

Pasukan petugas khas itu diberi 6 bulan untuk menjalankan siasatan dalaman dan menyediakan laporan mengenai kehilangan 2 individu itu.

Bagaimanapun lantikan itu dikritik dengan meluas, apabila keluarga mangsa yang hilang mempersoalkan kemasukan Mokhtar mewakili pasukan itu semasa pendengaran Suhakam.

KDN bagaimapun berkata lantikan Mokhtar dibuat berdasarkan profesionalisme dan kepakarannya sebagai bekas ketua bahagian perundangan polis yang boleh membantu PPK menjalankan fungsinya.

KDN juga berkata pelantikan ahli baru PPK sebagai pengganti Mokhtar akan dibuat dalam masa terdekat. – FMT