Bukti Kenyataan Guan Eng Tidak Boleh Dipakai

1. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia memandang serius kenyataan YB Menteri Kewangan yang menuduh bahawa bayaran balik GST “dirompak” oleh kerajaan terdahulu. Sebaliknya, laporan Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara (PAC) menyangkal tuduhan tersebut dan menunjukkan bahawa tiada kehilangan wang atau wang dirompak seperti didakwa YB Menteri.

2. Tuduhan liar sebegini tidak seharusnya dilakukan oleh seorang Menteri Kanan kerajaan, lebih-lebih lagi memegang portfolio Menteri Kewangan. Kenyataan yang tidak benar daripada Menteri Kewangan memberikan implikasi langsung terhadap ekonomi negara dan pelaburan asing ke dalam negara. Bagaimanakah pelabur asing akan yakin dengan ekonomi Malaysia jika Menteri Kewangan berkelakuan seperti kebudak-budakan dengan menyebarkan tuduhan-tuduhan liar sehingga orang luar tidak yakin dengan kepimpinan kerajaan hari ini?

3. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir untuk merombak kepimpinan kerajaan hari ini agar jawatan Menteri Kewangan diberikan kepada pemimpin yang berintegriti dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan ekonomi dan kewangan negara. Di saat ringgit makin lemah dan pelabur asing saban hari keluar dari Malaysia, kenyataan tidak bertanggungjawab Menteri menyebabkan ekonomi negara makin parah.

4. Menariknya, PAC turut melaporkan penangguhan pemindahan dana dari Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST dibuat untuk menjaga kedudukan aliran wang tunai negara supaya tidak berada dalam keadaan defisit. Menteri Kewangan seharusnya peka tentang isu dan takrifan akaun serta sebab di sebalik penangguhan, bukan memburukkan ekonomi Malaysia demi menyebarkan tuduhan berunsur jahat untuk memburukkan kerajaan terdahulu.

5. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia turut khuatir dengan keadaan ekonomi Malaysia ditadbir oleh Pakatan Harapan. PAC turut mengumumkan bahawa kerajaan menggunakan dividen Khas PETRONAS berjumlah RM30 Billion untuk membuat pembayaran balik cukai GST pada tahun 2019. Jelas menunjukkan bahawa PETRONAS dijadikan tempat berpaut untuk menutup kelemahan pentadbiran ekonomi kerajaan Pakatan Harapan. Jangan jadikan PETRONAS seperti habis madu, sepah dibuang. Diharapkan aset negara ini juga tidak dijual kepada syarikat asing atau swasta, seperti penjualan syarikat-syarikat lain di bawah Khazanah dan perancangan penjualan Malaysian Airlines.

Demi Bangsa Malaysia!

Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia,
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera