Heret Tommy: Peguam Bapa Adib Kemukakan 2 Isu

SHAH ALAM – Peguam yang mewakili bapa Muhammad Adib untuk mendakwa Peguam Negara, Tommy Thomas, memohon Mahkamah Koroner memutuskan dua isu awalan sebelum mendengar merit permohonan mereka.

Hanif Khatri Abdulla mempersoalkan sejauh mana penglibatan Pejabat Peguam Negara (AGC) kerana permohonan mereka adalah ex-parte (sebelah pihak).

“Adakah rakan-rakan kami (peguam Tommy) boleh mendengar permohonan ex-parte ini? Dan sekiranya boleh, ia sampai di tahap mana,” katanya.

Menurutnya, pihaknya telah dimaklumkan bahawa AGC telah memfailkan dua afidavit.

“Isunya adalah sama ada afidavit tersebut boleh diterima dan dilayan mahkamah,” katanya.

Justeru, beliau memohon satu tarikh untuk mahkamah mendengar dan memutuskan perkara tersebut.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy mengesahkan pihaknya sudah memasukkan hujahan balasan semalam.

“Pihak kami berpendirian bajawa Peguam Negara mempunyai hak untuk mendengar permohonan ini.

“Memandangkan Hanif Khatri telah mengenal pasti isu gangguan, saya bersetuju untuk mahkamah mendengar isu tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, Koroner Rofiah Mohamad menetapkan 9 Ogos sebagai hujahan bagi isu tersebut.

Pada 16 Julai lalu, bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding komital terhadap Tommy berhubung punca kematian anaknya. – Sinar Harian