Tommy Nafi Keluar Arahan Afidavit Sebelum Inkues Tamat

SHAH ALAM – Peguam Negara, Tommy Thomas tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan kepada bekas Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah berhubung pemfailan dan kandungan afidavit yang kemukakan kepada mahkamah.

Menurutnya, sebagai ketua perkhidmatan beliau tidak mengarahkan atau memberi arahan dalam tugas harian kepada 1,200 pegawai undang-undangnya.

“Dalam perkara ini, apa-apa yang diikrarkan dan difailkan oleh Hamdan dalam Inkues Kematian Muhammad Adib adalah di bawah bidang tugasnya,” katanya.

Sehubungan itu beliau percaya pemohon telah membuat tanggapan salah terhadap kenyataannya sebelum ini.

“Tanggapan dan rumusan pemohon terhadap afidavit Hamdan adalah “mischievous”, suatu salah tanggapan dan tanpa sebarang asas atau merit.

“Pemohon gagal membuktikan suatu kes prima facie untuk mahkamah memberi kebenaran memulakan perintah komital terhadap saya.

“Justeri saya dengan rendah diri memohon agar permohonan tersebut ditolak,” katanya dalam afidavit yang difailkan pada 22 Julai lalu.

Sementara itu, Hamdan dalam afidavitnya berkata, pernyataan perenggan 6 dalam afidavit sokongan yang dikemukakan di Mahkamah Rayuan bukanlah suatu pernyataan pra-matang seperti didakwa pemohon.

“Penelitian menyeluruh afidavit saya akan menunjukkan pernyataan tersebut dibuat dalam konteks perenggan- perenggan sebelum nya yang kesemuanya merujuk kepada keterangan yang telah dikemukakan dalam inkues setakat 2 April 2019,” katanya. – Sinar Harian