Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 Bermula

KUALA LUMPUR – Istana Negara hari ini menyaksikan satu lagi peristiwa penting dalam lipatan sejarah tanah air apabila Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam istiadat yang berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat Raja-Raja Melayu.

Istiadat gilang-gemilang yang mengangkat kedaulatan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Negara itu bermula tepat 10.45 pagi ini sebaik Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat masuk ke Balairung Seri, Istana Negara bagi memulakan istiadat.

Alunan tiupan nafiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan paluan nobat daripada Kumpulan Nobat Diraja Terengganu yang memainkan lagu ‘Raja Berangkat’ bergema mengiringi keberangkatan masuk pasangan diraja itu didahului Datuk Paduka Maharaja Lela, Azuan Effendy Zairakithnaini yang diapit panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama selain panglima-panglima lain yang membawa alat-alat kebesaran Diraja.

Cogan Alam dan Cogan Agama, kedua-duanya tongkat perak adalah sebahagian daripada alat kebesaran Diraja yang begitu signifikan dalam istiadat pertabalan dan menjadi lambang kebesaran institusi Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan Malaysia.

Ketibaan Al-Sultan Abdullah yang lengkap berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong dikenali sebagai ‘Muskat’ dan Tunku Azizah yang anggun dalam persalinan tenun Pahang berwarna putih gading menarik perhatian seluruh jemputan yang mengiringi langkah kedua-dua pasangan diraja itu untuk bersemayam di singgahsana.

Selain tetamu jemputan yang hadir di Istana Negara, istiadat pertabalan yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen negara juga membolehkan seluruh rakyat menyaksikan acara bersejarah itu yang istimewanya juga jatuh pada hari keputeraan Seri Paduka yang ke-60.

Selain Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, dua tetamu diraja dari luar iaitu Putera Mahkota Abu Dhabi merangkap Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha turut berangkat ke istiadat pertabalan itu.

Ia turut dihadiri wakil Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet, selain tetamu-tetamu kehormat yang terdiri daripada ketua-ketua Diplomat Asing dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Setelah Seri Paduka berdua bersemayam di atas Singgahsana, Datuk Paduka Maharaja Lela kemudiannya memohon perkenan Seri Paduka untuk menzahirkan istiadat pertabalan dengan membawa masuk naskhah al-Quran serta baki alat-alat kebesaran Istiadat Pertabalan ke Balairung Seri termasuk Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar yang diiringi paluan nobat lagu ‘Menjunjung Duli’.

Nashkah al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan oleh Datuk Paduka Maharaja Lela kepada Seri Paduka yang menyambut lalu mencium naskhah suci itu sebelum meletakkannya di atas rehal di meja sebelah kiri baginda.

Datuk Paduka Maharaja Lela kemudiannya menyampaikan Surat Pengisytiharan pertabalan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tampil ke hadapan Singgahsana, mengangkat sembah dan membacakan perisytiharan berkenaan.

Sejurus itu, Datuk Paduka Maharaja Lela dengan penuh tertib mempersembahkan pula Keris Kerajaan yang merupakan alat kebesaran utama negara kepada Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka yang menerima keris berkenaan menghunus dan mengucupnya sebagai simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka, sebelum menyarungkan semula keris itu dan meletakkannya di atas meja di sebelah kiri baginda.

Ini disusuli dengan bacaan lafaz ikrar oleh Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.

Sempurna sahaja ikrar dilafazkan, nobat dipalu memainkan lagu ‘Raja Bertabal’, diikuti laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela yang disusuli para hadirin di dalam Balairung Seri, Istana Negara.