Joanna Panik, Guna Duit Sendiri Supaya Cek Najib Tak Ditendang

KUALA LUMPUR – Saksi ke-54, Joanna Yu Ging Ping dalam keterangannya hari ini mendedahkan beliau ‘berkemungkinan’ telah menggunakan wang sendiri sebanyak RM55,000 bagi memastikan cek dikeluarkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak tidak ditendang.

Joanna yang merupakan bekas pengurus perhubungan Ambank dalam keterangannya pada perbicaraan SRC International Sdn. Bhd. yang melibatkan bekas Perdana Menteri itu mengakui perkara itu ketika disoal balas peguam bela, Harvinderjit Singh.

Jelas Joanna, dia telah berkali-kali mengingatkan tentang situasi baki tidak mencukupi setelah pengeluaran dengan had berlebihan dilakukan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low selain bekas Ketua Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil sebelum ini.

Namun dakwa Joanna, mereka kadang-kadang tidak endah tentang ‘amaran’ had pengeluaran itu sehingga menyebabkan situasi cek tendang berlaku dan keadaan itu telah memaksa wanita tersebut menggunakan wang sendiri terlebih dahulu.

Pada 29 September 2014, sekeping cek bernilai RM80,000 telah dikeluarkan atas nama hartawan Tan Sri Lim Soon Peng namun baki overdraft adalah sebanyak RM55,000 dan ia tidak mencukupi.

Insiden itu berjaya diperolehi melalui perbualan Blackberry Messenger milik Joanna yang dirampas Bank Negara Malaysia (BNM) pada serbuan tahun 2015.

Joanna dikatakan cuba menghubungi beberapa orang berhubung insiden itu termasuk Jho Low yang ketika itu dalam kapal terbang, kenalan dan ahli perniagaan, Kee Kok Thiam juga sering memasukan wang seandainya wujud isu terlebih had.

Bagaimanapun, menurut Joanna, Kok Thiam pada masa itu berada di Melaka dan tidak dapat membantunya manakala setiausaha Jho Low, Josie yang dalam perjalanan ke Pulau Pinang juga tidak menyelesaikan isu tersebut.

Wang pendahuluan milik Joanna itu dipercayai dipulangkan keesokan hari.

Joanna: Saya terpaksa guna duit sendiri kerana gagal mendapatkan jumlah tersebut daripada induvidu-induvidu itu sebelum jam 4.30 petang,

Harvinderjit: Jadi wang sebanyak RM55,000 untuk akaun yang berkahir dengan nombor 906 Ambank itu bukan dari Josie atau Kok Thiam?

Joanna: Saya tidak ingat.

Harvinderjit: Sekali lagi saya cadangkan kepada anda, duit itu dari kamu dan anda telah dibayar pada keesokan hari jumlah yang sama.

Joanna: Mungkin.

Harvinderjit kemudian membacakan kembali mesej antara Joanna dengan Josie yang mengucapkan terima kasih kerana membayar kembali wangnya.

Sejurus selepas itu, Joanna mengakui berkemungkinan dirinya telah menggunakan wang sendiri untuk membayar dulu bagi mengelak isu ‘overdraft’ tersebut.

Kata Joanna dari awal keterangan, dirinya sentiasa cuba memastikan tidak ada sebarang isu cek tendang kerana itu melibatkan ‘maruah’ seorang Perdana Menteri.