Klip CCTV Hotel Four Points Sudah Diserah Pihak Berkuasa

PETALING JAYA – Hotel yang menjadi tumpuan dalam kontroversi video seks sejenis menyasarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali bertegas ia sudah menyerahkan semua rakaman CCTV yang diperlukan kepada pihak berkuasa, susulan dakwaan rakaman di luar bilik yang didakwa berlaku hubungan seks sejenis itu dipadamkan.

“Kami tahu mengenai laporan baru-baru ini mengenai insiden membabitkan Haziq Aziz dan Azmin Ali,” kata jurucakap Hotel Four Points di Sandakan, Sabah kepada FMT.

“Kami boleh mengesahkan kami bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dan sudah menyerahkan semua rakaman CCTV keselamatan hotel berkaitan kepada pihak berkuasa seperti diminta mereka pada 14 Jun 2019.”

Jurucakap itu berkata, sebarang pertanyaan perlu ditujukan kepada Bukit Aman.

Pada 24 Julai lalu, Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang ditahan bersama bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq dan beberapa individu lain mempertahankan dakwaannya wujud konspirasi atas penahanannya.

Katanya, sepanjang reman 8 hari, beliau ditanya satu siri soalan yang “tiada kaitan dengan video atau penyebaran sebarang bahan haram”.

“Apabila saya tanya mereka mengenai rakaman CCTV di (Hotel) Four Points, yang jelas menunjukkan sama ada 2 individu didakwa memasuki bilik sama, polis kata rakaman itu sudah dipadamkan.”

Awal bulan ini, klip video yang didakwa rakaman CCTV di Hotel Four Points dimuat naik ke YouTube dan ia menunjukkan individu menyamai Azmin, Haziq dan juga Setiausaha Politik Azmin, Hilman Idham melalui kawasan yang kelihatan seperti koridor sebuah hotel.

Ketika itu, Hotel Four Points dilaporkan berkata, ia tahu mengenai video berkenaan.

Haziq menamakan hotel itu sebagai tempat hubungan seks sejenis itu berlaku dan menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam beberapa klip video tersebar sejak bulan lalu.

Bagaimanapun, timbalan presiden PKR itu menafikan dakwaan itu dan mengugut akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. – FMT