Litrak, Sprint Holdings Setuju Ambil Alih Lebuh Raya

KUALA LUMPUR – Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn. Bhd. (Sprint Holdings) dan Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd. (Litrak) memutuskan untuk menerima tawaran pengambilalihan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP ) dan Lebuhraya Sprint yang dibuat oleh kerajaan.

Keputusan itu dibuat selepas lembaga-lembaga pengarah syarikat berkenaan mendapati tawaran oleh Menteri Kewangan Diperbadankan adalah adil dan munasabah.

Perkara itu dimaklumkan kepada Bursa Malaysia.

Menteri Kewangan Diperbadankan telah menawarkan untuk mengambil alih anak syarikat milik penuh Litrak, anak syarikat milik penuh Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (syarikat konsesi LDP) pada harga RM2.47 bilion dan Sprint Holdings yang dikuasainya sebanyak 50 peratus pada harga RM1.98 bilion.

Tawaran yang sama juga dibuat kepada Lebuh Raya Shah Alam Sdn. Bhd. (Kesas) pada harga RM1.377 bilion dan RM369 juta untuk Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd. (SMART).

Litrak berkata, Sprint Holdings akan memulakan rundingan dengan Menteri Kewangan Diperbadankan untuk memuktamadkan terma dan syarat perjanjian bagi cadangan pengambilalihan tol dan menandatangani perjanjian muktamad dengan syarikat tujuan khas milik oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan pada 30 Ogos ini.

Ini adalah tertakluk kepada penerimaan tawaran oleh Kesas dan SMART, berdasarkan kajian kewajaran oleh Menteri Kewangan Diperbadankan dan kelulusan Kabinet.

Dilaporkan bahawa kerajaan menawarkan untuk membayar pemegang saham Litrak Holdings dan Gamuda RM6.2 bilion untuk mengambil alih empat lebuh raya bertol.

Gamuda Berhad dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad sebelum ini telah mengumumkan untuk menerima tawaran tersebut bagi kepentingan mereka masing-masing sebanyak 30 hingga 20 peratus dalam Sprint Holdings.

Malah, Gamuda juga menerima tawaran untuk pengambilalihan Kesas dan SMART.