Mahkamah Tolak Permohonan Najib Hadiri Sidang Parlimen

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan perbicaraan hari ke-30 berhubung dana SRC International Sdn. Bhd. bagi menghadiri persidangan Parlimen yang bermula hari ini.

Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dalam keputusan ringkasnya berkata, bukan hak mahkamah untuk menghalang kehadiran seseorang Ahli Parlimen ke persidangan berkenaan.

“Saya telah mempertimbangkan sesi itu dan tidak pasti apabila pengundian berlaku. Bukan hak mahkamah untuk menghalang kehadiran Ahli Parlimen.

“Bagaimanapun, tertuduh menghadapi beberapa pertuduhan serius dan oleh itu mahkamah menolak permohonan dan perbicaraan diteruskan,” katanya.

Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu memohon penangguhan perbicaraan bagi membolehkan anak guamnya menghadiri sidang parlimen ekoran terdapat beberapa usul yang akan dibahaskan termasuk usul Pengisytiharan harta bagi Ahli Parlimen.

“Selepas dibahaskan, Ahli Parlimen akan mengundi dan amat penting untuk mendapatkan undian majoriti dua pertiga. Dalam hal ini, undian anak guam saya adalah penting,” katanya.

Bagaimanapun, Peguam Negara, Tommy Thomas membantah permohonan berkenaan dengan hujah bahawa semua tertuduh termasuk Ahli Parlimen atau sesiapa sahaja perlu dilayan sama rata.

“Permohonan ini adalah remeh, sehubungan itu, saya bantah permohonan ini,” katanya.

Perbicaraan diteruskan dengan mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-42, bekas Pengarah Bukan Eksekutis SRC International, Datuk Suboh Md. Yassin.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International.