Menteri Digesa Teruskan Pencarian Wira ATM

1. Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan kehilangan dua orang anggota tentera yang sedang melakukan latihan ketenteraan, Koperal David Edmund Rapi dan Lans Koperal Moses Logers. Sebenarnya, ini merupakan kisah ulangan kepada kisah lama kehilangan dua anggota tentera pada tiga tahun lalu iaitu pada Oktober 2016, Koperal Johbartlee Kanil dan Koperal Mohd Faizol Rosli dilaporkan hilang. Empat hari kemudian, jasad Allahyarham Mohd Faizol berjaya ditemui.

2. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia memandang serius kenyataan YB Menteri Pertahanan bahawa usaha mencari dua anggota tentera darat dari Sarawak yang hilang ketika bertugas di Pulau Perak, Kedah pada 19 Julai sudah diberhentikan pada 26 Julai. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia meminta penjelasan lanjut daripada pihak Menteri mengenai proses pencarian yang hanya dilakukan selama 8 hari. Pengumuman oleh Menteri yang menghentikan pencarian dalam tempoh masa yang singkat juga secara tidak langsung memberikan mesej yang tidak baik kepada anak muda yang ingin menyertai angkatan tentera sebagai wira negara. Adakah mereka juga akan ditinggalkan dalam tempoh yang singkat jika hilang?

3. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia juga menggesa Menteri Pertahanan menyatakan solusi yang akan diterapkan kepada latihan ketenteraan di Pulau Perak dek kerana perkara sama telah berulang lagi. Insiden pada tahun 2016 dan tahun 2019 seakan-akan insiden yang sama apabila dua orang wira negara hilang sewaktu menjalankan latihan ketenteraan. Ini adalah penting untuk menjamin keselamatan anggota tentera kita.

Demi Bangsa Malaysia!

#SelamatkanMalaysia

Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia,
Pemuda Gagasan Sejahtera