Najib Akui Dana RM42 Juta Dimasukkan Ke Akuan Peribadi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini didedahkan bahawa dana sebanyak RM42 juta telah dimasukkan ke dalam akuan peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan perkara itu diakui sendiri oleh beliau.

Dalam perbicaraan SRC International Sdn. Bhd. pagi tadi, saksi ke-55, peguam kepada bekas Presiden MCA, Tun Dr. Ling Leong Sik, Ranjit Singh Harvinder Singh membuat pendedahan tersebut di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ranjit dalam keterangannya menyebut dalam jawapan ke atas tuntutan balas Leong Sik, Najib ada mengakui RM42 juta masuk ke akaunnya namun bertegas tidak tahu ia disalurkan melalui dua syarikat lain iaitu Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana.

Ranjit berkata demikian ketika di soal oleh Timbalan pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram yang sebelum itu memaklumkan saksi ke-54, Joanna Yu akan memberi keterangan selepas ini.

“Beliau mengaku dalam afidavit bersumpah bahawa wang RM42 juta itu daripada SRC namun tidak tahu ianya disalur dari Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana,” kata Ranjit.

Ranjit mendedahkan dalam afidavit itu Najib mendakwa  antara 24 Dis 2014 dan 6 Feb 2014, wang berjumlah RM42 juta dipindahkan ke akaun peribadi Ambank miliknya.

Leong Sik didakwa dalam satu majlis di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Kuala Lumpur pada 3 Oktober 2015 menuduh secara terbuka Najib tidak layak mentadbir negara sebagai Perdana Menteri dan mendesakknya meletak jawatan.

Beliau dikatakan berkata demikian selepas membaca laporan berhubung penyewelengan dana milik rakyat itu dalam Sarawak Report dan Wall Street Journal.

Antara yang dikatakan oleh Leong Sik seperti di petik dalam Malaysiakini ialah ‘Najib telah mengambil wang rakyat dan memasukkannya dalam akaun peribadinya’.

Bagaimanapun, Najib kemudian menarik kembali saman tersebut dan telah diarahkan untuk membayar kos sebanyak RM25,000 sebelum Leong Sik juga bertindak menarik kembali tuntutan beliau.

Ketua pasukan pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee pula bangkit menyoal apa relevan keterangan Ranjit dalam kes ini sebaliknya berkata pihaknya akan mengemukakan pendedahan peguam itu tidak relevan.

Namun Sithambaram berhujah membantah dengan mengatakan keterangan Ranjit pagi ini adalah relevan.

Prosiding bersambung dengan keterangan Joanna Yu yang disoal balas oleh Harvinderjit Singh.