Pencemaran Sungai Selangor Bukan Sabotaj – KPN

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia menolak kemungkinan wujudnya unsur sabotaj dalam siasatan berhubung kejadian pencemaran diesel di Sungai Selangor yang mengakibatkan gangguan bekalan air kepada kira-kira lima juta pengguna di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, soal-siasat yang dilakukan ke atas dua individu yang ditahan sebelum ini mendapati punca kejadian bukanlah diakibatkan oleh perbuatan sabotaj namun menjurus ke arah kecuaian pihak tertentu.

“Buat ketika ini, dapatan siasatan yang dilakukan menolak sebarang kemungkinan berlakunya perbuatan sabotaj dan lebih memfokuskan kepada kejadian kecuaian membabitkan sebuah syarikat lantikan kerajaan negeri.

“Syarikat berkenaan telah dipertanggungjawabkan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan sungai berkenaan,” katanya pada satu sidang akhbar selepas merasmikan Program Roadshow Autisme: Garis Panduan PDRM di sini hari ini.

Menurut Abdul Hamid, siasatan yang dilakukan pihak polis kini melihat kepada laporan polis palsu yang dilihat dibuat oleh pihak-pihak tertentu bagi melindungi kepentingan sesebuah syarikat.

“Jika kejadian ini merupakan perbuatan sabotaj, pasti terdapat beberapa aspek teknikal yang terlibat, namun pihak polis berpuas hati dengan siasatan yang dilakukan dan kita boleh menolak sebarang kemungkinan kejadian sabotaj.

“Siasatan masih lagi berjalan, dan saya fikir mungkin beberapa hari lagi kita akan mendapat jawapan tentang apa yang telah terjadi di sungai tersebut,” jelas beliau.

Tambah Abdul Hamid, salah seorang daripada dua lelaki yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala seorang lagi masih direman bagi membantu siasatan.