Pendirian Azmin Langgar Konsensus Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Pendirian Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahu Tun Dr. Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal melanggar konsensus dalam Pakatan Harapan (PH).

Konsensus dalam PH ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun selepas PH membentuk kerajaan.

Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam, Pusat Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, pendirian Mohamed Azmin juga bercanggah dengan semangat permuafakatan dalam PKR yang diterajui Anwar.

“Kenyataan Mohamed Azmin juga mampu mencetuskan krisis yang lebih besar dan mencetuskan ketidakstabilan dalam parti.

“Ini kerana Mohamed Azmin akan dianggap sebagai mengkhianati parti sendiri dan akan mencetuskan bantahan dari penyokong-penyokong Anwar,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Beliau diminta mengulas pendirian Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu yang mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian PAS dan UMNO untuk memberikan dukungan penuh kepada Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Mohamed Azmin menegaskan, pendirian tersebut adalah seiring pandangan yang pernah dilontarkannya supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera.

Sementara itu, tambah Mazlan, krisis berpanjangan dalam PKR tidak akan menjejaskan kedudukan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri selagi beliau kekal mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, katanya, krisis ini boleh sedikit merencatkan usaha kerajaan untuk memberi fokus pembangunan, meningkatkan ekonomi negara,membantu menambah pendapatan rakyat dan menurunkan kos sara hidup.

“Krisis yang berpanjangan dalam PKR akan mengurangkan sokongan rakyat kepada PH yang mungkin jemu melihat gelagat ahli-ahli politik yang lebih banyak bermain politik sedangkan rakyat mahu kerajaan memberi fokus kepada usaha mewujudkan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE