Perkahwinan 14 Tahun Nik Nazmi Berakhir

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan isterinya, Imaan Abdul Rahim sepakat mengakhiri perkahwinan yang dibina sejak 14 tahun lalu melalui satu prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di sini pagi ini.

Kira-kira jam 9.45 pagi, Nik Nazmi dan Imaan yang merupakan seorang doktor sah bercerai talak satu selepas Nik Nazmi melafazkan penceraian di hadapan Hakim Zaim Md Yudin.

Zaim merekodkan penceraian tersebut dalam kamarnya yang dihadiri Nik Nazmi selaku plaintif dan peguamnya Normawaddah Ramli manakala Imaan selaku responden hadir bersama peguamnya Fadiah Nor.

Kedua-dua pihak turut ditemani ahli keluarga masing-masing.

Nik Nazmi memfailkan permohonan cerai secara baik pada 30 Mei lalu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Dalam permohonan sama, beliau turut memohon perintah berkaitan nafkah anak, hak jagaan anak, harta sepencarian, mutaah, eddah dan hibah.

Sementara itu mahkamah memberikan hak jagaan anak mereka Nik Ilhan Nik Nazmi, 8, kepada Imaan manakala Nik Nazmi mendapat hak lawatan dan bermalam.

Dalam pada itu, Nik Nazmi melalui satu kenyataan berkata beliau dan Imaan telah bersetuju untuk mengakhiri perkahwinan mereka.

“Saya bersyukur dengan perkahwinan yang pernah kami miliki, juga sokongan dari keluarga dan rakan-rakan yang diberikan kepada kami.

“Saya ingin memohon maaf atas kesakitan atau kesedihan yang dialami oleh mana-mana pihak, terutamanya keluarga kami,” katanya.

Nik Nazmi berkata mereka akan fokus terhadap kegembiraan dan kesejahteraan anak mereka dan kami komited untuk membesarkannya bersama-sama.

“Saya minta semua pihak menghormati privasi kami pada waktu ini. Tiada kenyataan lain yang akan dikeluarkan berkenaan isu ini,” katanya. – Sinar Harian