Polis Nafi Tahan Pasangan Edar Risalah Agama Kristian

SHAH ALAM – Polis menafikan telah menahan pasangan suami isteri yang disyaki mengedar risalah berkaitan ajaran agama Kristian di Klinik Kesihatan Bukit Kuda, Klang dekat sini, sebagaimana yang ditularkan oleh media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata polis hanya mengambil keterangan daripada kedua-dua pasangan berusia lingkungan 70-an itu selepas menerima aduan daripada orang ramai pada kira-kira pukul 11 pagi Isnin.

Beliau berkata siasatan awal pihaknya mendapati pasangan itu merupakan penganut agama Kristian dan mereka tidak mengetahui bahawa tindakan mengedarkan risalah agama lain kepada penganut agama Islam adalah salah di sisi undang-undang.

“Pasangan itu mendakwa risalah itu tidak akan diberikan sekiranya seseorang itu menolak dan mereka juga memberitahu bahawa tujuan mereka mengedar risalah itu adalah sebagai mengucapkan rasa syukur kepada Tuhan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurut Nurulhuda siasatan lanjut pihaknya mendapati, pasangan itu bertindak mengedarkan risalah berkenaan atas kapasiti peribadi dan bukan dibelakangi oleh mana-mana pihak, dan mereka memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh siasatan dijalankan dan telah dinasihati agar tidak mengulangi perbuatan itu.

Terdahulu tular satu maklumat di media sosial pada Isnin mengenai kononnya polis menahan seorang wanita mubaligh Kristian yang berumur lingkungan 60an kerana mengedar risalah agama kepada orang ramai termasuk mereka yang beragama Islam di klinik kesihatan berkenaan.