Pos Malaysia Keluarkan Koleksi Setem Pertabalan Agong

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad hari ini mengeluarkan koleksi khas setem dan produk filateli sempena pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI.

Siri setem ini adalah lebih istimewa kerana menerima sentuhan peribadi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah memberi perhatian khusus dalam penghasilan siri setem khas ini dan memainkan peranan aktif sepanjang projek ini serta memberikan panduan yang jelas dan teliti, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor.

Setem peringatan ini didatangkan dalam denominasi 60sen, 80 sen dan RM1, memaparkan koleksi potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpakaian rasmi.

Setem 80 sen pula menampilkan Tunku Azizah Aminah Maimunah.

“Siri setem ini merupakan koleksi eksklusif bukan sahaja bagi pengumpul setem tetapi juga kepada orang ramai kerana ia hanya dikeluarkan bersempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Siri setem Yang di-Pertuan Agong pertama kali dikeluarkan oleh Pos Malaysia pada tahun 1966.

“Setiap edisi mempunyai reka bentuk unik dan ciri tersendiri, sebagai penghormatan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” tambah Syed Najib.

Selain setem, Lembaran Mini memaparkan imej Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong juga boleh didapatkan dengan harga RM5.

Teknik percetakan dakwat emas khas digunakan pada setem dan Lembaran Mini yang menghasilkan efek cetakan timbul pada produk filateli tersebut.

Tanda pembatalan menampilkan Jata Pertabalan KDYMM Yang di-Pertuan Agong, tajuk siri setem dan tarikh keluaran.

Seperti mana dengan pengeluaran setem khas lain, tanda pembatalan hanya tersedia untuk tujuan mengecap pada hari keluaran.

Syed Najib berkata, hanya terdapat 300,000 keping dikeluarkan untuk setiap setem dan koleksi setem ini akan dijual di semua pejabat pos di seluruh negara bermula esok, Rabu, 31 Julai 2019.