Raja Salman Taja 20 Jemaah Malaysia Tunai Haji

KUALA LUMPUR – Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud menaja 20 jemaah Malaysia untuk menunaikan haji di bawah program Tetamu Raja Arab Saudi 2019 (Istidhofah).

Program tahunan kendalian Kementerian Hal Ehwal Agama, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi ditaja sepenuhnya melalui peruntukan peribadi Raja Salman yang membabitkan kos penginapan, tiket kapal terbang, makan minum serta kos di Masya’ir Haram.

Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan berkata, melalui program Istidhofah tersebut, kerajaan Arab Saudi berjaya menghimpunkan sejumlah besar umat Islam dari seluruh dunia.

Beliau berkata, kerajaan Arab Saudi mempunyai pengalaman yang luas dalam mengendali program tersebut kerana telah menganjurkannya lebih 20 tahun.

“Saban tahun kami memdapat maklum balas positif daripada jemaah seluruh dunia bagi membantu para peserta tetamu Raja Arab Saudi menunaikan haji.

“Kami akan sentiasa berusaha mempertingkatkan kemudahan program ini dari semasa ke semasa,” katanya kepada Bernama selepas program Majlis Meraikan Tetamu Raja Arab Saudi 2019 di sini kelmarin.

Antara tujuan utama program tersebut ialah menghimpunkan jemaah dari seluruh dunia untuk saling bertukar pandangan tentang Islam dan mengeratkan silaturahim sesama umat Islam.

Mereka yang terpilih terdiri daripada kalangan agamawan, wakil kerajaan, ahli akademik, pendakwah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antara yang terpilih di dalam program tersebut ialah Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud; Ketua Penolong Mufti Wilayah Perseketuan, Ridzuan Awang dan Wartawan Meja Multimedia Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman.

Kumpulan itu akan berlepas ke Jeddah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Ogos dan berada di Arab Saudi sehingga 17 Ogos.

Selain itu, Raja Salman turut menaja 1,300 jemaah dari 72 negara di bawah program tersebut.

Penjaga Dua Kota Suci itu turut mengundang 200 keluarga mangsa serangan keganasan di Christchurch, New Zealand menjadi tetamunya untuk menunaikan haji.

Raja Arab Saudi itu turut menaja 2,000 anggota keluarga tentera Yaman untuk menunaikan haji tahun ini.

Arab Saudi turut merancang untuk menampung sehingga 30 juta jemaah haji dan umrah pada tahun-tahun akan datang berdasarkan Wawasan 2030 yang diperkenal Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.

Kerajaan itu juga prihatin dengan kesejahteraan jemaah haji serta umrah, dan perkara ini dicerminkan menerusi wawasan tersebut.