Safiey Ilias Mengaku Tidak Salah Pukul Instafamous

KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik Safiey Ilias mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita ‘Instafamous’ yang dikenali sebagai Baby Arra Januari lalu. 

Safiey atau nama sebenarnya Mohd. Safiuddin Ilias, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.

Mengikut pertuduhan, penyanyi lagu Syinta Gila itu didakwa telah menyebabkan cedera parah ke atas Farahnazikha Karab Hussain, 25,  di sebuah restoran di Jalan Liew Weng Chee AU 2sini pukul 1.30 pagi pada 15 Januari 2018.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, B.Rajdeep Singh menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun Safiey yang diwakili peguam Harjeet Singh Sidhu memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya bekerjsama dengan pihak berkuasa sepanjang siasatan dilakukan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Tawfiq membenarkan Safiey diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 September ini untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE