Serang Polis: Lagi 8 Lelaki Nigeria Ditahan

KUALA LUMPUR – Lapan lagi lelaki Nigeria ditahan tengah malam tadi kerana disyaki terbabit dalam kes serangan terhadap anggota polis yang sedang bertugas di pangsapuri Flora Damansara, Khamis lepas.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata sehingga hari ini seramai 18 orang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang dianggap sebagai tindakan ganas dan tidak bertanggungjawab itu.

“Dalam kes ini amat nyata satu tindakan tidak bertanggungjawab oleh sekumpulan warga Afrika ini terhadap anak buah saya…siasatan bukan menyasarkan satu warganegara sahaja.

“Kejadian ini sama sekali tidak boleh diterima berlaku di negara ini dan kami tidak akan melayan perlakuan ganas seperti ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Jerayawara Autisme: Garis Panduan Polis Diraja Malaysia di Maktab Polis Diraja Malayasia (PDRM), hari ini.

Dalam kejadian itu, 3 anggota dan seorang pegawai dari Jabatan Siasatan jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya diserang ketika cuba menahan seorang lelaki Nigeria yang disyaki terlibat dalam kes penipuan “African scam” dan menyebabkan seorang anggota polis cedera di muka.

Kejadian pada pukul 11 malam itu turut mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin yang mengutuk sekeras-kerasnya kejadian itu dan berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara atau cuba mengganggu anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.

“Terdapat kira-kira 50 orang warga Afrika bertindak menyerang 4 anggota PDRM semasa mereka sedang menjalankan tugas…saya mengarahkan siasatan penuh dilakukan terhadap warga asing yang terlibat serta tindakan sewajarnya diambil segera di bawah peruntukan undang-undang.

“Saya ingin menegaskan semua warga asing yang datang ke negara ini mesti berkelakuan baik dan sentiasa mematuhi undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhyiddin berkata sekiranya ada pihak yang tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara, mereka harus membuat laporan menggunakan saluran betul dan tidak sesekali mengambil tindakan sendiri.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Fadzil Amat berkata permohonan perintah reman terhadap 8 lelaki Nigeria yang ditahan tengah malam tadi akan dibuat di Mahkamah Petaling Jaya hari ini.

Polis juga akan meminta lanjutan tempoh reman terhadap 10 lelaki Nigeria yang ditahan pada malam kejadian, katanya.

Dalam perkembangan lain, Hamid berkata kira-kira 30 warga PDRM ditahan kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam tempoh 7 bulan pertama tahun ini.

“Setiap minggu ada saja anggota ditahan kerana penyalahgunaan dadah terutama syabu…jika aktiviti ini tidak dibendung, tidak mustahil negara kita akan menjadi seperti Colombia.

“Tindakan tegas telah diambil terhadap mereka kerana jika warga PDRM sendiri tidak ‘bersih,’ bagaimana kami mahu membanteras aktiviti ini,” katanya.